TAHUKAH ANDA ?
1. Purata jarak yang dilalui oleh seorang pemain bolasepak dalam sesuatu perlawanan adalah sekitar 10-13 km dengan pemain tengah mencatatkan jarak yang paling jauh. Sebahagian besar jarak tersebut dilalui dengan samada berjalan atau larian berintensiti rendah. Kajian juga menunjukkan pemain peringkat antarabangsa melakukan 28% lebih larian berintensiti tinggi dan 58% lebih larian pecut berbanding pemain peringkat yang lebih rendah (Mohr et al., 2003).
2. Pemain melakukan larian berintensiti tinggi pada jarak yang hampir sama. Jarak pecutan di dalam sesuatu perlawanan adalah sekitar 10-15m namun yang paling jauh adalah 30m dengan penyerang membuat ulangan pecutan yang lebih berbanding lain-lain posisi. Justeru, kemampuan melakukan gerakan berintensiti tinggi secara berulangan adalah penting untuk menjadi seorang penyerang yang berjaya. Kajian membuktikan pemain daripada kelas yang lebih tinggi lebih banyak melakukan latihan berintensiti tinggi. Ini membantu mereka menangani keletihan sementara dalam sesuatu permainan dan mempercepatkan pemulihan daripada kerja berintensiti tinggi. Inilah yang membezakan di antara pemain top class dan low class.
3. Antara faktor yang dikaitkan dengan keletihan adalah;
– Dehidrasi dan kepanasan
– Pengumpulan laktat
– Nilai pH di dalam otot yang rendah (asid)
– Kreatin fosfat yang berkurangan (sumber tenaga segera)
– Pengurangan simpanan glikogen otot
– Penurunan aktiviti pam Na+/K+ (kontraksi otot)
4. Kajian menunjukkan simpanan glikogen otot adalah rendah selepas sesuatu perlawanan. Malah selepas 2 hari, simpanannya hanya sekitar 50% sahaja berbanding sebelum perlawanan. Ini menunjukkan pengambilan karbohidrat selepas perlawanan juga adalah penting bagi kegunaan latihan dan perlawanan seterusnya.
5. Jumlah larian berintensiti tinggi semakin berkurangan di dalam sesuatu perlawanan menuju ke wisel penamat. Glikogen dan kreatin fosfat (sumber tenaga bagi intensiti tinggi) juga semakin berkurang. Pada masa sama, insulin yang rendah dan peningkatan katekolamin akan menggalakkan lipolisis dan pembebasan asid lemak bebas (sumber tenaga bagi aktiviti berintensiti rendah). Justeru, gabungan faktor pemakanan (karbohidrat, kreatin) dan latihan yang khusus bagi meningkatkan kecekapan penggunaan biotenaga di dalam permainan bola sepak adalah penting. Pemain tidak seharusnya menumpukan kepada latihan taktikal padang sahaja, bahkan latihan aerobik dan anaerobik perlu dilakukan secara berterusan.
6. Purata bebanan aerobik dalam sesuatu perlawanan adalah sekitar 70% daripada VO2 maks dan denyutan nadi boleh mencapai 95% daripada nilai maks. Faktor dehidrasi, peningkatan suhu tubuh dan tekanan mental semasa perlawanan juga menyumbang kepada peningkatan degupan jantung. Dianggarkan kehilangan air boleh mencapai 3-5 liter di dalam sesuatu perlawanan yang kompetitif di dalam cuaca sederhana atau panas. Jadi kita boleh menilai sendiri kesesuaian bermain di dalam piala dunia di Brazil dalam keadaan berpuasa. Jangan bandingkan dengan puasa di dalam peperangan di zaman dulu…itu adalah cerita yang sangat berbeza dalam banyak segi.
